Pengucapan Awam Yang Berkesan - Nurmujahidah

Latest

Lifestyle / Personal / Review / Beauty / Cosmetics

Saturday, October 19, 2013

Pengucapan Awam Yang Berkesan



ASSAALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI WABARAKAATUH AHLAN WASAHLAN WA MARHABAN BIKUM.

Sebagai seorang bakal guru, pengucapan awam adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi, malah pengucapan awamlah yang akan menjadi salah satu perkara yang wajib dilakukan oleh kami. Disebabkan inilah, kebanyakan tugasan yang diberikan oleh pensyarah kepada kami adalah dalam bentuk penyampaian atau 'presentation'. Hal ini penting untuk melatih kami, bakal guru untuk berucap dan membina keyakinan semasa berdiri di hadapan orang ramai.

Guru melakukan pengucapan awam dalam banyak situasi; semasa di dalam kelas mengajar para pelajar, berucap di atas pentas semasa perhimpunan mingguan, memberi ucapan semasa majlis rasmi dan macam-macam lagi acara yang memerlukan guru berucap di hadapan awam. Kadang-kadang diberitahu awal, tapi banyaknya diberitahu di saat-saat akhir. Makanya, kami perlu sentiasa bersedia dengan segala persiapan dari segi mental dan fizikal. Mungkin disebabkan inilah, guru-guru selalu kelihatan kemas dan bergaya kerana keyakinan diri datang daripada penampilan yang hebat. Keyakinan diri pula diperlukan semasa berucap. Ya, saya bangga menjadi guru.

Pengucapan Awam Yang Berkesan, Pengucapan Awam, Ciri-ciri Pengucapan Awam Yang Berkesan
saya ketika membuat demonstrasi pengucapan awam.
betapa gementarnya menuturkan kata-kata pada saat ada orang yang tengah menilai di sebelah. 

Setelah segala persiapan sudah dibuat, kita perlu memastikan pengucapan awam kita merupakan sebuah pengucapan awam yang berkesan. Saya akan berasa amat kecewa jika mengetahui yang ucapan saya tidak meninggalkan apa-apa kesan kepada para audien. Lebih mengecewakan lagi jika audien mengatakan yang ucapan saya adalah ucapan yang tidak bermakna. Maka, penyampai perlu berusaha untuk menghasilkan pengucapan awam yang berkesan. Banyak perkara dan usaha yang boleh dilakukan untuk memastikan objektif sebuah ucapan itu tercapai. Persoalannya adalah; Bagaimana?

Pengucapan awam yang berkesan sebenarnya mempunyai beberapa ciri yang bergantung kepada ciri-ciri pemberi ucapan dan ucapan itu sendiri. Kita biasa melihat penyampai sangat bersahaja semasa berucap dan menganggapnya mudah walhal yang kita tidak tahu adalah perancangan dan strategi yang dilakukan untuk membuatkan kita mendengar sehingga ke penamat. Sesungguhnya, ia tidaklah semudah yang dilihat. Pengucapan yang berkesan adalah ucapan yang berjaya mencapai objektif yang ditetapkan dan berjaya membuatkan para audien memahami dan mempercayai setiap patah perkataan yang diutarakan.

=======================================================================

PENGUCAPAN AWAM YANG BERKESAN

1. Memilih Satu Subjek Yang Betul-betul Dijiwai

Memilih subjek yang betul-betul dijiwai adalah memilih subjek yang benar-benar menarik minat kita sendiri untuk memperkatakan tentangnya. Hal ini sangat penting kerana ia akan sangat mempengaruhi ton suara, bahasa tubuh dan ekspresi muka semasa kita berucap. Mungkin kita tidak dapat merasakannya tapi audien menilai. Semua elemen ini sangat penting dalam mencapai objektif kita untuk membuat para audien yakin dan percaya dengan apa yang diperkatakan.

2. Mengetahui Fakta-fakta Penting Mengenai Subjek Yang Sedang Diperkatakan

Untuk memberi ucapan yang baik, kita haruslah mempunyai ilmu tentang apa yang sedang kita perkatakan. Kita tidak boleh memperkatakan tentang sesuatu sedangkan kita tidak tahu apa-apa tentangnya. Pastinya, sesuatu yang sangat memalukan akan berlaku sekiranya seseorang menangkap kita mereka-reka fakta semata-mata untuk menjadikan ucapan itu menarik. Ini akan menghancurkan kepercayaan audien kita secara serta merta sepenuhnya.

3. Memulakan Ucapan Dengan Menyatakan Pendirian Kita

Pendirian kita boleh dinyatakan dalam bentuk objektif, pendapat, harapan atau ramalan berkaitan dengan subjek yang diketengahkan. Apabila kita nyatakan pendirian kita, audien akan mendapat bayangan awal tentang apa yang kita perkatakan dan mereka akan lebih memahami isi-isi penting yang bakal kita selitkan dalam ucapan tersebut. Huraian yang diberikan pula akan sentiasa menyokong pendirian itu. Lebih baik lagi jika kita mengulang pendirian itu untuk beberapa kali.

4. Menyatakan Sebab-sebab Pendirian Itu Dipilih

Manusia dilahirkan dengan sifat ingin tahu yang tinggi. Dalam membuatkan mereka percaya, sifat inilah yang perlu digunakan sebaik mungkin kerana sifat ini membuatkan audien lebih fokus dan berminat dengan isi ucapan. Setelah mendengar pendirian kita, semestinya mereka akan tertanya-tanya sebab kepada pendirian itu, terutamanya mereka yang mempunyai pendirian yang berbeza. Hal ini akan memastikan mereka sentiasa berminat untuk mendengar hingga ke akhir ucapan.

5. Hiasilah Ucapan Anda

Selain perasaan ingin tahu, manusia juga adalah makhluk Allah yang mudah hilang daya fokus. Mereka memerlukan elemen lain yang menjadikan ucapan lebih menarik dan berkesan. Oleh itu, ucapan yang baik memerlukan sesuatu yang berbeza, bukan sekadar ucapan mendatar semata-mata. Untuk 'menghias' sebuah ucapan, kita boleh menggunakan klip video, gambar menarik, lagu dan sebagainya supaya ucapan kita menjadi sebuah ucapan yang bervariasi dan tidak statik.

6. Pastikan Masa Yang Diambil Adalah Sesuai

Kajian menunjukkan, manusia hanya mampu fokus secara maksimum selama 2 jam. Gunakan masa yang ada sebaiknya dengan tidak terbawa-bawa semasa berucap dan tidak juga menghurai secara keterlaluan. Masa yang terlalu pendek menyebabkan maksud sebenar tidak sampai kepada para penonton dan masa yang terlalu panjang pula akan menyebabkan audien hilang minat untuk mendengar ucapan kita. Yang penting, ucapan perlu ringkas tapi padat dengan isi.

7. Menggunakan Ton Suara Dan Bahasa Tubuh Yang Tepat

Jadilah orang yang mempunyai daya 'memikat' dan memujuk, bukan orang yang agresif dan terlalu memaksa. Manusia tidak akan menggemari orang yang terlalu kasar atau mendesak. Audienmemerlukan ruang untuk mempunyai pendapat sendiri dan tidak harus merasakan mereka dipaksa untuk bersetuju dengan semua yang kita perkatakan. Kita boleh menekankan suara pada waktu tertentu, bukan sepanjang masa supaya audien selesa untuk terus mendengar.

8. Pandangan Mata Dengan Audien

Apabila berucap, mata kita memainkan peranan yang sangat penting. Pandangan mata ke mata antara pemberi ucapan dengan audien akan membina hubungan antara mereka; hubungan antara penyampai dengan penerima. Hubungan ini penting supaya penerima dapat menerima segala input yang diberikan oleh penyampai dengan lebih baik dan terbuka. Pandangan mata juga akan menunjukkan keyakinan yang ada pada diri semasa kita berucap di hadapan khalayak ramai.

9. Membuat Ringkasan Dalam Proses Mengakhiri Ucapan

Ringkasan boleh dibuat dalam satu frasa, satu ayat atau satu perenggan. Ia dilakukan untuk memberikan gambaran penuh tentang apa yang telah kita perkatakan semasa berucap. Dalam ringkasan juga kita boleh mengulang pendirian yang kita nyatakan pada permulaan ucapan supaya audien mengingatinya kembali di samping isi-isi penting yang diambil daripada ucapan tersebut.

10. Menutup Dengan Sempurna

Penutup yang sempurna mempunyai beberapa elemen dan kita juga boleh memilih elemen yang sesuai untuk mengkonklusikan ucapan yang diberikan. Kita boleh mengulangi pendirian, menyatakan harapan dan mencadangkan penambahbaikan yang boleh dilakukan. Penutup ini akan memberitahu audien objektif sebenar ucapan itu diberikan dan meninggalkan kesan yang lebih mendalam kepada mereka.

-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Sebagai seorang pelajar opsyen TESL, kebiasaannya saya akan membuat pengucapan awam dalam Bahasa Inggeris dan saya mengakui yang hal ini sangatlah mencabar kerana saya dilahirkan sebagai seorang perempuan berbangsa Melayu. Sebagai seorang yang berbahasa Melayu sejak kecil, saya perlu menerima hakikat yang selamanya, saya tidak akan dapat berucap seperti mereka di barat yang sememangnya menggunakan bahasa Inggeris sejak kecil, tetapi saya bangga untuk mengatakan yang sentiasa ada perubahan yang baik setiap kali membuat penyampaian di dalam kelas ataupun di atas pentas. 

Tidak dinafikan terlalu banyak peristiwa yang memalukan telah terjadi sepanjang tempoh saya melakukan pengucapan awam. Saya pernah melompat daripada pentas semasa menyertai pertandingan bercerita bahasa melayu semasa darjah dua menyebabkan saya tidak dibenarkan meneruskan perjuangan ke peringkat daerah walaupun saya menjuarai pertandingan itu. Saya pernah 'menghancurkan' sebuah perhimpunan rasmi yang saya pengerusikan semasa di sekolah menengah akibat gementar yang berlebihan. Semua itu saya anggap sebagai pengajaran yang sangat berharga dalam hidup saya. Pengalaman ini jugalah yang membolehkan saya terbang ke Labuan semasa darjah tiga untuk pertandingan bercerita Bahasa Inggeris peringkat kebangsaan dan menobatkan saya sebagai naib johan pertandingan sajak peringkat negeri semasa darjah 5. Banyak juga kenangan pengucapan awam dalam hidup ini bila dikenang kembali.

Saya selalu mengambil peluang yang ada untuk mengasah bakat saya dalam pengucapan awam. Terkini, saya mengambil bahagian dalam pertandingan public speaking peringkat IPGKKB. Ia pengalaman yang berharga bagi saya kerana jarang-jarang saya dapat peluang berucap dan menyatakan pendapat sendiri yang tidak berkaitan dengan kursus yang saya ambil, walaupun saya tidak memenanginya. Mungkin, dengan menyertai Kelab Pidato Perdana dapat membantu saya. Latihan berterusan dan mengambil pengajaran dari setiap pengucapan awam yang dilakukan telah dibuktikan sebagai langkah yang sangat berkesan dalam memperbaiki kelemahan yang ada pada diri ini. 

Alhamdulillah, saya pernah mendapat pujian daripada seorang pensyarah semasa melakukan penyampaian tentang alat bantu mengajar yang saya hasilkan dahulu. Ia adalah satu peristiwa yang sangat menggembirakan walaupun ianya tidak dinyatakan secara formal. Senang sahaja membuatkan perempuan biasa bahagia.

Ini cara saya. Bagaimana pula dengan cara anda? Sesiapa yang mempunyai idea lain untuk menghasilkan pengucapan awam yang baik bolehlah menyertai contest tulis pasal pengucapan awam. Untung-untung dapat wang tunai RM300. Masyuk juga. Sila klik link di bawah.

http://hidupringkas.com/pidato/contest-tulis-pasal-pengucapan-awam/

Semoga berjaya semuanya. Wassalaam.


10 comments:

  1. muja tentu dah klasi kan berucap depan orang, siap speaking lagi tu...gud luck for the contest

    ReplyDelete
    Replies
    1. tak de kelaihnya,,, malu kot salah grammar merata riti,, huhuuu

      Delete
  2. muja pun join ek.. nak kena join gak la camni..hehe

    ReplyDelete
    Replies
    1. wah, bangga jadi pendorong uncle untuk join. join jangan tak join tau :D

      Delete
  3. Salam!, masukkan link KeLab Pidato Perdana dalam artikel ini macam yang disyaratkan dalam contest...terima kasih!

    ReplyDelete
  4. fuh memang gemuruh bila berucap..kelakr baca entry masa muja lari tu..hahhaa..pe2 pun do your best..sekurang-kurangnya pengalaman itu membuatkan kita lebih berani

    ReplyDelete